Zakry: Prestasi skuad beregu negara semakin merosot

Oleh Penulis Jemputan 15 Oktober 2017 1798
Zakry: Prestasi skuad beregu negara semakin merosot
Skuad beregu lelaki negara semakin hilang pengaruh sebagai taruhan utama Malaysia di pentas antarabangsa tetapi ia bukan bermakna mereka tidak berupaya bangkit mengatasi kemelut yang melanda.

Itu pandangan bekas pemain beregu elit negara, Zakry Latif, yang membentuk gandingan bersama Faruzizuan Tazari.

Malah, Zakry dan Fairuz merupakan pemain yang berada dalam generasi emas skuad beregu lelaki kebangsaan yang menampilkan pemain senior seperti Lee Wan Wah-Choong Tan Fook, Chew Choon Eng-Chan Chong Ming serta Koo Kean Keat-Tan Boon Heong.

Begitu berpengaruh skuad beregu negara ini sehingga keempat-empatnya layak ke suku akhir kejohanan bertaraf Siri Super seperti Terbuka Indonesia edisi 2007.

Elemen paling penting selain kehadiran senior bertanggungjawab adalah kemahuan mereka serta patuh kepada seorang mentor, bekas jurulatih negara, Rexy Mainaky.

"Dulu, salah satunya kami sudah diajar untuk semangat berpasukan. Setiap kali berlatih, kami membantu satu sama lain, tiada rasa mementingkan diri sendiri. Malah, pemain senior pun banyak membantu kami. Mereka tidak kedekut ilmu. Mereka sentiasa membantu pemain junior," katanya.

Zakry, yang menanam keyakinan untuk melihat skuad ini bangkit semula, tidak berselindung apabila menawarkan peringatan tegas kepada pemain muda yang sedang atau bakal membawa nama beregu lelaki Malaysia di pentas dunia satu hari nanti.

"Sekarang ini, budak banyak manja. Selepas itu, penglibatan daripada ibu bapa pun salah satu punca juga. Zaman dulu, kami melakukan segala-galanya sendiri, jurulatih yang mengendalikan kami. Tiada masalah, siapa yang bermasalah, jurulatih akan memberikan hukuman. Pemain-pemain  sekarang manja sikit, kemewahan juga salah satu sebab prestasi pemain semakin merudum," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen