Yoke Meng harap pemain Malaysia bangkit

Oleh Penulis Jemputan 15 Oktober 2017 348
Yoke Meng harap pemain Malaysia bangkit
Skuad badminton remaja negara dilanda pelbagai emosi susulan kekalahan dalam final Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Dunia 2017 di Yogyakarta, Indonesia.

Skuad negara semalam memulakan saingan dengan langkah kanan apabila merampas mata pertama menerusi beregu campuran ketika bertemu juara bertahan, China.

Susulan daripada itu, mereka dipaksa menangani kekecewaan, terutama dalam saingan perseorangan membabitkan Leong Jun Hao dan Goh Jin Wei.

Akhirnya, Malaysia terpaksa akur sekali lagi bergelar naib juara sama seperti edisi 2016 di Bilbao, Sepanyol.

"Pemain sebenarnya memberikan yang terbaik dan ketika kami berada di depan 1-0, kami fikir kami mempunyai harapan cerah untuk memenangi gelaran ini.

"Tetapi Leong Jun Hao beraksi seperti di bawah jangkaan saya, banyak tekanan ke atasnya dan tidak dapat beraksi baik," kata jurulatih skuad badminton remaja negara, Kwan Yoke Meng.

Harapan Malaysia untuk merangkul kejuaraan tambahan kekal pada Jun Hao, juara remaja Asia musim ini serta Jin Wei yang merupakan bekas juara remaja dunia.

Susulan kekalahan mengecewakan dalam final, fokus mereka kini terarah kepada saingan perseorangan dan Yoke Meng berharap dapat melakar kejayaan.

"Diharapkan dalam acara perseorangan, mereka boleh bangkit, layak dan beraksi baik, sekurang-kurangnya mencapai sasaran ranking dunia mereka sebagai pemain pilihan keempat. Diharapkan dia layak mara ke sepauhr akhir," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen