Pemain badminton perseorangan wanita negara, Lee Ying Ying, mahu merapatkan jurang dengan dua lagi wakil kebangsaan, Goh Jin Wei dan Soniia Cheah, sebagai sasaran utamanya pada 2019.

Tamat kempen 2018 menyaksikan Ying Ying berada di tangga ke-39 ranking dunia manakala status selaku perseorangan nombor satu negara menjadi milik Jin Wei yang berada di kedudukan ke-27, disusuli Soniia di tangga ke-31.

Selepas mempamerkan kemerosotan prestasi di penghujung musim, Ying Ying percaya dia perlu tampil dengan aksi lebih kemas tahun depan.

Setakat ini, satu pertandingan sah akan disertai oleh Ying Ying bagi musim 2019, iaitu Masters Thailand yang dijadualkan dari 8 hingga 13 Januari ini.

"Jin Wei dan Soniia beraksi dengan baik bagi tahun ini, jadi saya harap dapat melakukan dengan lebih baik tahun depan. Jurulatih terus membantu saya memperbaiki teknik permainan dan dia mengharapkan saya boleh bermain lebih menyerang tetapi bukan rally yang panjang," katanya.

Ying Ying ketika ini beraksi dalam saingan Purple League musim 2018/2019 apabila mewakili pasukan Tebrau City BC dan dia memperoleh kemenangan sulung selepas menewaskan pemain Serdang BC, Wei Yawen.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki Serdang BC, Muhd Shaqeem Eiman Shahyar, bertekad untuk merebut kesempatan seandainya diberi peluang memasuki skuad kebangsaan.

Dia yakin tidak mustahil buat dirinya untuk mengikuti jejak langkah rakan sepasukan di Selangor, Aidil Sholeh Ali Sadikin, yang menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal bulan ini.

"Saya akan cuba mendapatkan pemilihan ke dalam skuad negara. Saya ingin menunjukkan kepada BAM bahawa saya mampu jadi yang terbaik," ujar Shaqeem.