Di sebalik pelbagai kemelut, Ong Yew Sin mahu membuktikan skuad beregu lelaki berupaya kembali menjadi sandaran Malaysia di pentas tertinggi dunia.

Dua minggu selepas berganding dengan Tan Wee Kiong, peminat tanah air sudah boleh menjangkakan sesuatu yang luar biasa.

Meskipun teruja untuk meneruskan kerjaya bersama Wee Kiong, Yew Sin tetap menghargai waktu dia berganding dengan Teo Ee Yi.

Bagi Yew Sin, bukan mudah untuk dia menerima hakikat untuk membentuk gandingan baru ketika dia dan Ee Yi mula mencipta nama.

"Dalam hati kecil, agak sukar untuk saya berpisah dengan Ee Yi sebab kami sudah mula menunjukkan peningkatan.

"Kalau kami berkeras untuk meneruskan gandingan juga, agak sukar kerana keputusan untuk membentuk gandingan baru sudah ditetapkan.

"Kami harus cuba dulu dan mengharungi pengalaman baru," katanya.

Yew Sin berasakan untuk membentuk gandingan lebih mantap bersama Wee Kiong, mereka perlu ada keserasian di luar gelanggang.

"Kami bukannya tak rapat, cuma di luar dia sudah berumahtangga. Gandingan kami belum lancar lagi, namun bertambah baik," katanya.

Keputusan luar biasa yang dijangkakan apabila mereka akan membuat penampilan pertama dalam Siri Super Terbuka Perancis, terbit daripada mulut Yew Sin sendiri.

Terdapat beberapa elemen yang sebenarnya memberi kelebihan kepada pasangan baru yang digandingkan itu.

"Berpasangan dengan sesiapa pun boleh, cuma ia akan mengambil sedikit masa.

"Baru berganding memberikan kami rangsangan," katanya lagi.