Walaupun saingan peringkat awal liga sepusingan SS Purple League 2017/18 belum pun tamat, pasangan beregu lelaki Kelab Badminton (KB) Puchong United, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, melaungkan keyakinan tinggi bahawa kelab itu mampu menjadi juara musim ini.

Yew Sin berkata, “Puchong United pada tahun ini tidak menghadapi masalah untuk muncul juara SS Purple League.

"Semua pemain sentiasa melakukan yang terbaik untuk pasukan, saya menaruh keyakinan tinggi untuk kami muncul juara. Saya memang menyasarkan kejuaraan, itu sahaja,” katanya.

Mengulas perlawanan mereka bertemu KB Serdang hari ini, Yew Sin berkata, “Pada mulanya, mungkin kami sedikit kurang fokus dalam lima mata pertama tetapi selepas itu barulah kami mendapat rentak dan berjaya menang.

“Dalam saingan beregu lelaki dalam SS Purple League, saya berasakan pemain setiap pasukan mampu memberi saingan dalam sistem mata 11 mata yang memerlukan fokus tinggi.

"Kami perlu mengelakkan kesilapan-kesilapan kecil kerana ia boleh menyebabkan kekalahan kepada mana-mana pemain sekalipun,” katanya selepas perlawanan.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Sports Arena Sentosa sebentar tadi, KB Puchong United selaku pendahulu liga terus melebarkan jurang kutipan mata setelah menang 14-3 mengatasi KB Serdang.

Acara perseorangan lelaki bermula rancak dengan pemain KB Puchong United, Liew Daren, dan pemain KB Serdang, Xu Yiming, terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri setelah kedua-dua pemain terikat 2-2 (10-11, 11-7, 11-7, 7-8) dalam tamat tempoh 30 minit perlawanan.

Acara perseorangan wanita menyaksikan perlawanan dikuasai sepenuhnya oleh KB Puchong United melalui pemainnya dari Jepun, Aya Ohori. Dia mudah mengalahkan Huang Qiong Hui 3-0 (11-5, 11-7, 11-9).

Gandingan Yew Sin-Ee Yi terus membawa KB Puchong United untuk selesa mendahului selepas mereka mencatat kemenangan 3-0 (11-7, 11-9, 11-10) ke atas pasangan KB Serdang, Syazmil Idham-Ong Wei Khoon. Keputusan itu membolehkan KB Puchong United mendahului 8-2 set mata keseluruhan.

Belum cukup dengan itu, giliran beregu campuran KB Puchong United, Lee Hyo Jung-Lim Khim Wah pula menundukkan pasangan KB Serdang, Lim Jee Lynn-Pei Tianyi, juga 3-0 (11-7, 11-9, 11-10), sekaligus menjarakkan pungutan set mata keseluruhan kepada 11-2.

KB Puchong United terus mengganas dalam satu lagi acara perseorangan lelaki apabila Wei Nan mengatasi pemain muda KB Serdang, Leong Jun Hao, 3-1 (3-11, 11-6, 11-5, 11-5) untuk melengkapkan hari gemilang pasukannya.