Pemain badminton beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, sedia mengetepikan segala perselisihan faham di antara mereka demi membantu Malaysia layak ke Piala Thomas 2018.

Dipisahkan sejak September lalu, V Shem dan Wee Kiong kini digandingkan semula bagi membantu memperbaiki ranking Malaysia untuk layak ke Piala Thomas.

Ini bermakna pasangan baru mereka, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin juga akan digandingkan semula selepas hanya sempat bersama empat bulan sahaja.

V Shem dan Wee Kiong mengambil pendekatan profesional untuk berganding semula kerana mengetahui mereka mampu menjadi sandaran utama negara untuk pusingan kelayakan Piala Thomas di Alor Setar, Februari depan.

"Kami akan berusaha mempamerkan persembahan yang terbaik dalam saingan di Kedah nanti. Kami perlu mempamerkan persembahan yang terbaik untuk Malaysia," kata V Shem.

"Saya agak terkejut ketika mendapat keputusan yang telah dilakukan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Tetapi sebagai pemain di bawah BAM, kejayaan negara menjadi keutamaan," kata Wee Kiong

Kedua-dua pasangan ini dijangka akan memulakan sesi latihan bersama bermula Januari 2018.

Masih belum mengetahui sebarang perancangan rapi tentang hala tuju mereka, V Shem dan Wee Kiong menyerahkan segala keputusan kepada ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, untuk merangka program baru buat mereka.