Pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem, percaya Malaysia sepatutnya tidak memiliki sebarang masalah untuk layak ke pusingan akhir Piala Thomas tetapi akur perlu muhasabah diri sebelum kembali menjadi pasangan efektif bersama Tan Wee Kiong.

"Saya berasakan ia bukan masalah besar dan mampu layak ke Piala Thomas. Kehadiran Lee Chong Wei serta beberapa pemain lagi mampu membantu pasukan dalam saingan berpasukan di Kedah nanti," kata V Shem.

Kenyataannya itu memberi gambaran skuad negara berupaya layak secara merit ke Piala Thomas dengan menamatkan kempen Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Alor Setar, Februari depan dalam kelompok empat pasukan terbaik.

V Shem turut menjelaskan dia dan Wee Kiong perlu menghadiahkan mata buat Malaysia. Mereka kini mengejar masa untuk memperbaiki kelemahan peribadi yang menjurus kepada pemisahan kedua-duanya sebelum ini.

"Setakat ini, kami perlu membuat persiapan daripada strategi dan taktikal. Saya dan Wee Kiong masih memerlukan masa untuk mendapatkan semula keserasian kami," kata V Shem.

Selain sudah mula menjalani latihan bersama, dua saingan pertama yang akan disertai V Shem dan Wee Kiong pada 2018 adalah Kejohanan Badminton Masters di Thailand dan Malaysia pada Januari.

"Saya berharap dapat meraih keputusan yang positif pada permulaan tahun 2018 nanti," tambahnya.