Terbuka Thailand: Momota positif COVID-19, Jepun tarik diri

Oleh Muzaffar Musa 4 Januari 2021 460
Terbuka Thailand: Momota positif COVID-19, Jepun tarik diri
Kento Momota tidak akan bertanding dalam dua kejohanan Terbuka Thailand bulan ini selepas pemain nombor satu dunia itu diuji positif COVID-19.

Momota dan seluruh kontinjen Jepun berkumpul di Pusat Latihan Nasional Tokyo sehari sebelum jadual penerbangan mereka ke Bangkok semalam.

Disebabkan keputusan positif juara dunia itu, Persatuan Badminton Jepun mengugurkan kesemua pemain mereka daripada dua kejohanan itu, yang akan bermula 12 Januari ini.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Persatuan Badminton Thailand kini sedang giat menjemput pemain gantian daripada senarai simpanan yang sedang dalam perjalanan ke negara itu.

Selain Momota, dua lagi pemain utama Jepun yang sepatutnya menyertai kejohanan itu adalah perseorangan wanita, Akane Yamaguchi dan Nozomi Okuhara, yang masing-masing menduduki ranking ketiga dan keempat dunia.

Pasangan beregu lelaki dan wanita negara itu juga dijangka mampu menjadi pesaing dalam merebut dua gelaran berkenaan.

Dugaan yang melanda Momota itu menyaksikan dia perlu menunggu lebih lama untuk kembali ke gelanggang antarabangsa.

Sepanjang tahun lalu, dia hanya beraksi dalam satu kejohanan iaitu Masters Malaysia.
 
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen