Skuad Malaysia kini tersepit di antara kesihatan diri dan semangat juang beraksi di gelanggang menjelang Terbuka Thailand 12 Januari ini.

Ia tatkala menerima perkhabaran tidak enak kes positif yang menimpa pengarah kejurulatihan, Wong Choong Hann semalam.

Kes terbaru membabitkan beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Marcus Fernaldi Gideon menarik diri selepas Kevin sah positif Covid-19.

Sama seperti Malaysia, Indonesia tetap menghantar pasukan ke Bangkok.

Biarpun fokus utama terhadap kejohanan yang akan berlangsung minggu hadapan, kerisauan tentang kesihatan diri tetap wujud dalam kalangan pemain yang akan beraksi kelak.

Perlepasan skuad badminton ke luar negara kali ini cukup berbeza.

Bukan sahaja perlu melalui ujian saringan semalam, mereka juga memakai pelindung dan topeng muka serta sarung tangan sebagai langkah pencegahan ketika di balai berlepas.

Begitu juga dengan pemain profesional, apabila mereka mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai Sut Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE).

"Sesiapa boleh positif Covid-19, jadi semua harus berharap segalanya berjalan lancar buat skuad Malaysia," kata Soon Huat.

Sementara itu, sehari selepas Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, disahkan positif Covid 19, presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, tampil dengan tindakan proaktif.

"Ia merupakan jangkitan yang dialami ketika berada di luar Akademi Badminton Malaysia, namun kami tidak mengambil mudah perkara ini dan ia merupakan peluang kepada pihak BAM bagi menilai prosedur operasi standard yang perlu diperketatkan lagi selepas ini," kata Norza.