Terbuka Thailand: Barisan beregu negara enggan rasa selesa

Oleh Ammar Hakim 5 Januari 2021 271
Terbuka Thailand: Barisan beregu negara enggan rasa selesa
Barisan beregu lelaki negara enggan rasa selesa dengan ketiadaan beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Marcus Fernaldi Gideon, yang menarik diri selepas salah seorang daripadanya sah positif Covid-19. 

Sebaliknya, mereka mahu memberikan tumpuan terhadap membiasakan diri dengan pengalaman berbeza kali pertama menghadapi saingan di luar negara.

Pemain beregu negara, Aaron Chia, mengakui memiliki kelebihan untuk menyasarkan keputusan lebih baik selepas seteru yang menjadi cabaran utamanya terpaksa menarik diri ekoran dijangkiti virus Covid-19. 

Namun, Aaron tidak mahu mengambil remeh kepada saingan yang bakal diberikan mana-mana pihak lawan dalam kejohanan sulungnya tahun ini.

Skuad kebangsaan sampai ke bumi Thailand lebih awal selepas terpaksa menjalani tempoh kuarantin sebelum saingan bermula 21 Januari ini. 

"Peluang lebih besar untuk mengejar gelaran dalam saingan kali ini tetapi lawan yang sukar masih lagi bersaing dalam kejohanan kali ini. Jadi peluang itu ada tetapi ia tidak mengesahkan kami sudah pasti menjadi juara," kata Aaron.

Sementara itu, Ong Yew Sin, berkongsikan pengalaman perjalan ke kejohanan pasca Covid-19 yang dirasakan cukup berbeza.

"Kami tidak mengatakan terlalu bimbang mengenai Covid-19 ini kerana apa yang boleh diusahakan adalah mengikut setiap prosedur operasi standard (SOP) dan buat masa ini, kami perlu kuarantin terlebih dahulu sehingga ujian dikeluarkan," kata Yew Sin.

 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen