Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, meraih gelaran pertama sejak digandingkan Julai lalu apabila muncul juara Kejohanan Badminton Terbuka Macau, hari ini.

Vivian-Cheng Wen menundukkan Misato Aratama-Akane Watanabe dalam perlawanan straight set.

Terdahulu, pencapaian terbaik kedua-dua pasangan beregu wanita itu ialah muncul naib juara Terbuka Hyderabad, September lalu.

Bertemu Aratama-Watanabe yang berada di ranking ke-30 dunia, Vivian-Cheng Wen mempamerkan aksi cemerlang apabila mudah mendahului 12-4 dalam set pertama.

Namun, beregu dari Jepun tersebut cuba mengejar sehingga kedudukan 14-18. Sedar akan kebangkitan yang cuba dilakar lawan, Vivian-Cheng Wen segera menamatkan pertarungan 21-15.

Aksi dalam set kedua lebih dramatik apabila Vivian-Cheng Wen terlebih dahulu ketinggalan. Bagaimanapun, mereka menyamakan kedudukan di mata ke-16 sebelum memastikan kemenangan 22-20.