Beregu lelaki negara, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin, menjuarai Grand Prix (GP) Emas Terbuka Bitburger selepas mengejutkan pasangan tuan rumah di Saarburken, Jerman, lewat malam tadi.

Gandingan muda yang menduduki ranking ke-45 dunia itu menundukkan pilihan kelapan kejohanan, Michael Fuchs-Johannes Schoettler, 21-16, 21-18 dalam aksi final yang berlangsung selama 40 minit.

Ia adalah gelaran sulung diraih Ee Yi-Yew Sin dalam kejohanan bertaraf GP Emas dan kejuaraan keempat dimenangi mereka sejak digandingkan November tahun lalu

Sebelum ini, mereka pernah muncul juara Cabaran Antarabangsa Vietnam pada Jun lalu, selepas memenangi Cabaran Antarabangsa Portugal dan Cabaran Antarabangsa Romania, Mac lalu.

Terbuka Bitburger nyata dikuasai oleh China apabila memenangi empat daripada lima acara yang dipertandingkan.

Sementara itu, beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, tumpas 15-21, 18-21 kepada pasangan suami isteri dari England, Chris Adcock dan Gabby Adcock, dalam perlawanan separuh akhir, kelmarin.