Hadir tanpa pengalaman luas menjadi kekangan utama yang perlu diatasi pengarah kejurulatihan baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Han, dalam memastikan penerimaan jurulatih dan pemain bagi menjalin kerjasama erat sebaik mulakan tugas secara rasmi, Januari depan.

Choong Han enggan terus rasa dibebani dengan jurang pengalaman yang dimiliki, sebaliknya mahu menghadirkan suasana positif dan harmoni bersama barisan jurulatih senior lain seperti Datuk Misbun Sidek.

Paling utama adalah untuk mendalami corak latihan sedia ada sebelum sebarang penambahbaikan dibuat berdasarkan program dan modul yang akan dirangka secara bersama.

Malah, dia akan memastikan setiap keputusan yang dibuat tidak hanya secara individu tetapi dengan kata sepakat yang lebih profesional.

"Sekarang apa yang paling baik adalah fokus kepada kerja dan teruskan kerja keras. Apabila anda melakukannya, tidak perlu fikirkan tekanan yang ada kerana ia tetap akan ada.

"Hanya perlu fokus terhadap apa yang mampu dilakukan," ujar Choong Hann.

Bekas pemain nombor satu dunia itu percaya tiada yang mustahil dalam misi menghadirkan emas sulung Olimpik 2020 sekiranya pemain itu sendiri mampu tingkatkan tahap disiplin dalam latihan dengan lebih konsisten.

"Sudah tentu semua orang mahu melihat keputusan positif dan itu yang cuba kami dapatkan.

"Ia memerlukan masa untuk mendapatkan prestasi terbaik. Buat masa ini, saya akan kekal dengan perancangan dan formula serta mengikut setiap langkah yang telah dibuat."