Seorang jaguh tetap memerlukan sokongan keluarga di kampung halaman tidak kira setangkas mana kelibatnya di atas gelanggang.

Bagi juara Kejohanan Badminton Seluruh England 2021, Lee Zii Jia, yang mengharapkan ada ruang untuknya menjenguk ibu bapanya di Alor Setar, Kedah, sebelum Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kali terakhir saya jumpa mereka adalah sebelum cuti Krismas lalu, itu pun balik selama tiga hari sahaja kerana perlu membuat persediaan menghadapi Terbuka Thailand.

"Saya belum berkesempatan untuk meraikan detik kejayaan (Seluruh England) bersama keluarga.

"Lagipun peraturan di ABM (Akademi Badminton negara, Bukit Kiara) agak ketat walaupun kelibat kami nampak seperti ke hulu hilir.

"Walaupun tinggal di ABM, kami juga mahu mengelak perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

"Tapi tidaklah terlalu rindu sebab dari kecil lagi saya sudah (berhijrah) ke mari," katanya ketika diwawancara wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani.




Antara yang dirinduinya ialah masakan keluarganya termasuk neneknya.

"Saya cuma agak memilih dengan sayur-sayuran. Pilihan saya ialah kailan dan kangkung.

Pemain perseorangan kelapan dunia itu juga berharap dia dan rakan seperjuangannya mampu menyinar dalam temasya di Jepun kelak meskipun membabitkan pengalaman pertama mereka.

"Saya harap kami pergi dengan garang, tidak tertekan dan berjuang untuk negara."