Kepong BC meraih kemenangan kedua daripada tiga perlawanan SS Purple League (SSPL) 2018-19 selepas menewaskan Petaling BC 10-8 dalam perlawanan di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Sebelum ini, mereka menang besar ke atas Serdang BC 15-6 sebelum tewas 9-11 kepada Ampang Jaya BC yang memiliki barisan bintang seperti Kento Momota, Chan Peng Soon dan Lee Zii Jia.

Kepong BC bermula dengan aksi garang dan mendapat kemenangan pertama 3-0 (11-4, 11-6, 11-6) menerusi perseorangan lelaki, Lim Chi Wing, yang mengatasi Chong Yee Han.

Bagaimanapun, Petaling BC jelas tidak mudah mengalah apabila bangkit menerusi perseorangan wanita, Yulia Yosephine, yang mengatasi Lin Jhih Yun 3-2 (3-11, 11-8, 11-7, 3-11, 11-7).

Rentak kemenangan itu gagal diteruskan Petaling BC selepas Kepong BC kembali garang dalam acara beregu lelaki.

Menerusi Lu Ching Yao-Yang Po Han, Kepong BC menjarakkan kemenangan set kepada 8-3 selepas pasangan itu mengatasi Aaron Chia-Soh Wooi Yik 3-0 (11-6, 11-10, 11-5).

Perlawanan semakin menarik apabila Petaling BC merapatkan kedudukan kepada 6-8 selepas beregu campuran, Terry Hee Yong Kai-Lai Pei Jing, menewaskan Mohd Arif Abdul Latif-Ng Wing Yung 3-0 (11-3, 11-7, 11-1).

Dalam perhitungan terakhir, perseorangan lelaki Kepong BC, Soong Joo Ven, beraksi baik bagi mengikat Iskandar Zulkarnain 2-2 (11-8, 6-11, 9-11, 4-3) dalam masa 30 minit, sekali gus memberikan kemenangan kedua buat pasukan itu.

Mengulas aksi hari ini, Joo Ven berkata: "Saya banyak belajar daripada aksi menentang Kento Momota ketika menentang Ampang Jaya BC baru-baru ini.

"Bagi saya, hanya sedikit kesilapan daripada Iskandar menjadi pemisah dalam perlawanan kami.

"Sudah tentu Kepong BC sudah memberikan aksi terbaik selepas tiga perlawanan.

"Dengan nama-nama besar yang beraksi dengan pasukan lain, kami telah memberikan tentangan sebaik mungkin.

"Saya berharap untuk meneruskan aksi cemerlang dalam setiap perlawanan selepas ini," katanya.

JADUAL SSPL (KHAMIS, 27 DISEMBER 2018)
4ptg: Bukit Mertajam All Stars BC lwn Serdang BC
8mlm: Bandar Maharani BC lwn Tebrau City BC