Pasukan pilihan, Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya berjaya mencapai misi mereka untuk memimpin carta SS Purple League 2018/19 setelah menang 15-4 mengatasi Bandar Maharani BC dalam perlawanan kelima round robin di Gem In Mall, hari ini.

Kedudukan itu, bagaimanapun, masih tergugat sekiranya pasukan di tangga ketiga, Puchong United BC, yang turun beraksi malam ini mampu mencatatkan kemenangan besar ke atas lawan mereka.

Tan Jia Wei memulakan aksi dengan baik buat pasukan Ampang Jaya BC dalam acara perseorangan lelaki dengan menjinakkan wakil Bandar Maharani BC, Lim Chong King, 3-1 (11-3, 11-7, 9-11, 11-4).

Selepas itu, dalam acara perseorangan wanita, Goh Jin Wei terus menjarakkan pungutan mata menjadi 6-2 buat Ampang Jaya BC selepas dia menang 3-1 (11-7, 6-11, 11-5, 11-6) mengatasi pemain Bandar Maharani BC, Chasinee Korepap.

Ampang Jaya BC bertambah selesa setelah gandingan Low Juan Shen-Lukhi Apri Nugroho terus menguasai acara beregu lelaki. Mereka mengatasi gandingan Bandar Maharani BC, Goh Sze Fei- Nur Izzuddin Mohd Rumsani juga 3-1 (8-11, 11-10, 11-6, 11-8) bagi mendahului kutipan mata 9-3.

Dalam acara beregu campuran, Ampang Jaya BC terus mempersembahkan permainan selaku pasukan pilihan musim ini. Pasangan Chan Peng Soon-Shevon Lai Jemie menjadikan pasukan Ampang Jaya BC semakin selesa 12-3 di depan setelah menang mudah 3-0 (11-10, 11-9, 11-8) mengalahkan Lee Meng Yean-Wong Tien Ci dalam masa 25 minit.

Hari gemilang Ampang Jaya BC disempurnakan oleh Lee Zii Jia yang turun dalam satu lagi acara perseorangan lelaki. Dia menang 3-1 (11-10, 8-11, 11-5, 11-5) ke atas Ng Jun Yan untuk membantu kejayaan Ampang Jaya BC.

Pengurus Ampang Jaya BC, Ho Khek Mon,g yang ditemui selepas perlawanan berkata, “Saya gembira dengan kemenangan hari ini kerana ia adalah semangat yang bagus buat pemain. Kami mendapat 15 mata maksimum dan berjaya merampas kedudukan paling atas liga.”

“Dalam dua lagi baki perlawanan, kami akan berdepan Bukit Mertajam All Stars BC dan Serdang BC. Ini adalah kelebihan untuk kami bagi mempertahankan kedudukan teratas, iaitu seperti mana sasaran awal kami dalam pusingan pertama,” kata Khek Mong.