Pemain beregu campuran negara, Goh Soon Huat, menganggap penampilan pertamanya di pentas separuh akhir bertaraf Siri Super sebagai kenangan manis dan juga pengajaran berharga.

Soon Huat dan gandingannya, Shevon Lai, mencipta sejarah peribadi apabila layak ke separuh akhir Siri Super Terbuka Denmark, 21 Oktober lalu.

Tetapi mereka tersentak dengan realiti apabila mudah diketepikan beregu dari China yang juga naib juara dunia musim ini, Zheng Siwei-Chen Qingchen.

Aksi separuh akhir itu menyaksikan dia dan Shevon tewas straight set 16-21, 16-21.

"Pertama sekali, kami pergi ke sana dengan harapan tidak berada tinggi. Kami cuba fokus dalam setiap perlawanan dan bermain sepenuh hati.

"Corak permainan lawan membuatkan kami mengenal pasti apa yang perlu kami tingkatkan," katanya.

Kelemahan yang ditekankan Soon Huat itu ditingkatkan dalam kejohanan yang disertai mereka selepas itu.

Bagaimanapun, momentum baik di Denmark gagal diteruskan apabila mereka tersingkir dalam pusingan pertama Siri Super Terbuka Perancis, minggu lalu.

"(Kelemahan) strategi perlawanan, keserasian dan juga kekuatan fizikal. Satu perkara lagi, tenaga. Apabila bermain dalam perlawanan sukar, tenaga saya menurun," katanya.