Kesukaran mencipta impak di pentas Siri Super tetap tidak melunturkan semangat perseorangan wanita nombor satu negara, Soniia Cheah, dalam merealisasikan misi menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik dunia sebelum penghujung musim 2017.

Prestasi baik dalam saingan Grand Prix dan GP Emas menyaksikan Soniia berada dalam ranking terbaik kerjaya pada kedudukan ke-23, Julai lalu.

Bagaimanapun, pergelutan beraksi dengan pemain berstatus elit dalam Siri Super menyaksikan dia berkemungkinan terkeluar daripada kelompok 30 terbaik dunia.

Dalam saingan Terbuka Perancis, minggu lalu, Soniia tersingkir dalam pusingan pertama kepada pemain yang berada di ranking ketiga dunia, Sung Ji-hyun, dalam pertembungan tiga set (12-21, 21-18, 12-21).

“Saya perlu meningkatkan prestasi permainan saya jika mahu terus memperbaiki ranking. Saya telah berbincang dengan jurulatih mengenai perkara ini dan berharap untuk mempamerkan aksi cemerlang dalam kejohanan akan datang.

"Sasaran saya adalah untuk berada dalam kelompok 20 terbaik tetapi saya menyedari ia adalah satu tugas yang sukar tetapi ia tidak akan menghalang saya untuk mencuba," katanya.

Di bawah kendalian ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, Soniia akur berupaya untuk mengatasi masalah yang dikenal pasti sebagai penghalang.

Seu Bock juga sering kali menyifatkan Soniia adalah pemain berbeza di pentas latihan pusat berbanding ketika di gelanggang kompetitif.

“Saya sering memiliki masalah terhadap keyakinan diri ketika beraksi dalam saingan GP Emas dan Siri Super Premier kerana kehadiran ramai pemain bertaraf dunia turun beraksi. Saya akan cuba meningkatkan lagi latihan fizikal,” ujarnya.