SMK (L) Methodist, SMK Seri Bintang ungguli Liga Remaja Kebangsaan

Oleh Penulis Jemputan 12 November 2017 269
SMK (L) Methodist, SMK Seri Bintang ungguli Liga Remaja Kebangsaan
Kejohanan Badminton Liga Remaja Kebangsaan peringkat Kuala Lumpur menyaksikan pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lelaki Methodist dinobatkan juara kategori lelaki sementara SMK Seri Bintang mengungguli kategori wanita dalam perlawanan akhir, hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Badminton Kuala Lumpur menemukan SMK Methodist menentang SMK Raja Abdullah dalam katgeori lelaki.

Biarpun ketinggalan 0-1 setelah wakil perseorangan lelaki SMK Methodist tewas dalam perlawanan pembukaan, mereka bangkit untuk menang 3-1.

Wakil perseorangan kedua, Tan Kok Xian, menepati ramalan untuk menundukkan lawan dengan kemenangan 19-21, 23-21, 21-15.

Seterusnya, dua lagi mata disumbangkan pasangan beregu, Chong Ee Jack-Goh Jea John dan Andrew Pang-Rex Hooi Shao Peng, untuk mengesahkan kejuaraan milik SMK Methodist.

"Saya berpuas hati dengan keputusan hari ini. Ini adalah salah satu proses pembelajaran buat kami dan kami lega dapat menyumbangkan sesuatu buat sekolah," kata Kok Xian yang juga kapten pasukan.

Sementara itu, kategori wanita menyaksikan SMK Seri Bintang unggul untuk mengetepikan pasukan Sekolah Antarabangsa Sri Sempurna dengan kemenangan 2-0.

Perseorangan wanita, Yeoh Zi Xuan, bersaing hebat untuk menundukkan lawannya, Odelia Wong, 18-21, 21-18, 21-19 untuk mengesahkan kejayaan milik SMK Seri Bintang.

Juara kategori lelaki membawa pulang wang tunai RM1,000, manakala naib johan membawa pulang RM500.

Sementara itu, juara kategori wanita meraih RM700 dan naib johan RM350.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen