Latihan skuad badminton kebangsaan membabitkan prospek ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Ehime, Jepun, bukanlah untuk kunjungan makan angin sekalipun mengharungi musim mencabar sepanjang 2019.

Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, akan mengetuai kem latihan itu yang akan berlangsung selama seminggu mulai Ahad ini.

Pemain senior seperti Zii Jia di samping beregu lelaki utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, melalui musim yang menguji fizikal serta mental mereka selepas mengharungi sekurang-kurangnya 20 kejohanan, termasuk Sukan SEA Filipina.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mula memeterai perjanjian dengan wilayah Ehime pada Julai 2018 bagi tujuan program pertukaran kepakaran dan pangkalan latihan buat Malaysia di Jepun.

"Ini kali kedua pasukan Malaysia berlatih di Ehime dan tahun lalu, skuad remaja menjadi pilihan tetapi kali ini, pemain utama skuad kebangsaan yang akan pergi.

"Kami akan banyak mengadakan perbincangan dengan pihak di Jepun dan mereka adalah yang terbaik.

"Saya berharap selepas menjalani persiapan di sini, latihan di Ehime akan memberikan kesegaran buat pemain sebelum mereka menghadapi cabaran musim 2020," kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

Zii Jia dan rakan-rakan, bagaimanapun, akan terus mengerah keringat sekembalinya dari Ehime yang menyaksikan Kejohanan Masters Malaysia bakal menjadi saingan pembuka tirai di bawah Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Memandangkan saingan itu bertaraf Super 500, pemain terbaik dunia, termasuk mereka yang berstatus nombor satu dunia kecuali daripada kem perseorangan wanita, sudah pun mengesahkan penyertaan.