Skuad badminton negara, yang membentuk kelompok penting dalam Program Road to Tokyo (RTT), berada di landasan terbaik untuk memulakan latihan selepas sambutan Aidilfitri berikutan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Dengan itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah menyediakan satu garis panduan agar barisan pemainnya, yang sedang memburu tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan, dapat berlatih tanpa sebarang kebimbangan.

Menerusi satu perkongsian bersama Nadi Arena hari ini, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata: "Sebenarnya kami sudah berbincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara) mengenai SOP (prosedur operasi standard) tersebut dan kami sudah mengutarakan cadangan kami kepada mereka.

"Mungkin SOP itu boleh diperbaiki tetapi kami memang bersedia seandainya pemain diberikan kebenaran untuk menjalani latihan.

"Yang paling penting adalah kami mahu mengehadkan jumlah pemain di dalam dewan latihan.

"Kalau boleh kami tidak mahu terlalu ramai (di dalam dewan).

"Kami juga mencadangkan agar latihan itu dijalankan mengikut kategori.

"Bukan semua pemain akan berlatih pada waktu yang sama, jadi penjarakan sosial dapat dipastikan.

"Selain itu, kami juga akan mengambil suhu badan pemain sebelum menjalani latihan dan demi memastikan pemain menjaga kebersihan masing-masing, kami menyediakan cecair pembasmi kuman di dewan latihan dan gimnasium.

"Jika perlu, kami akan melakukan proses membasmi kuman setiap kali tamat latihan," katanya.