Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, membuktikan mengapa dia ikon dunia selepas menamatkan kemarau kejuaraan Siri Super di Terbuka Hong Kong, semalam.

Seluruh England merupakan kejuaraan terakhir yang dimenangi Chong Wei sebelum melakar kejayaan di Hong Kong Coliseum dengan menewaskan Chen Long 21-14, 21-19 dalam final.

Prestasi Chong Wei kerap dikritik apabila disingkir awal daripada saingan Kejohanan Dunia oleh pemain dari Perancis, Brice Leverdez.

Bertemu Chen Long buat kali pertama sejak final Sukan Olimpik Rio 2016, Chong Wei mengembalikan keterujaan kepada peminat menerusi prestasi sebenar.

Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, yang mengiringi Chong Wei khas bagi kempen di Hong Kong ini, berkongsi cerita di sebalik tabir kebangkitan jaguh negara ini.

"Ini merupakan persembahan yang sangat baik daripada Chong Wei. Tahap keyakinanya semakin meningkat dan ketenangannya dalam gelangang semakin baik," kata Seu Bock.