Setahun selepas bersara, Chong Wei masih dirindui

Oleh Muzaffar Musa 14 Jun 2020 214
Setahun selepas bersara, Chong Wei masih dirindui
Tanggal  13 Jun 2019, di Menara KBS, keluarga badminton Malaysia meratapi persaraan jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei.

Individu yang mengajar rakyat Malaysia erti perpaduan dalam sukan itu tertunduk hiba selepas melakukan pengumuman berkenaan.

Kini, setahun sudah berlalu tetapi nama Chong Wei tetap disebut-sebut dalam arena badminton negara yang merindukan kelibatnya di atas gelanggang.

Selaku individu yang mengepalai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak 2017, Datuk Seri Norza Zakaria antara watak yang paling rapat untuk menyaksikan turun-naik Chong Wei bersama badan induk itu.

"Pada setiap masa sewaktu saya bergelar presiden (BAM) atau mungkin sebagai timbalan presiden sebelum itu, saya sentiasa menganggap  Chong Wei sebagai aset utama kami.

"Walaupun pada ketika dia sedang berdepan isu doping, saya sentiasa menganggapnya sebagai satu aset.

"Mungkin ada yang menganggapnya sebagai liabiliti tetapi bukan saya.

"Saya kekal bersama dengannya untuk melalui waktu yang amat sukar dan menyakitkan itu.

"Sehingga akhirnya terbukti bahawa dia tidak bersalah dan tidak sedar perkara itu berlaku.

"Seperti mana yang saya katakan tadi, begitulah akrabnya hubungan kami.

"Kerana dia juga percaya bahawa saya bukannya seorang ketua yang akan besama dengannya hanya ketika dia berada di puncak," katanya.

Turut terkesan dengan kehilangan pemain berstatus legenda itu adalah bekas rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

"Penderma, dia amat suka mendermakan barangnya.

"Dia juga amat luar biasa kerana kekuatan mentalnya macam 'orang gila'.

"Pada saya, tiada yang mustahil untuk dirinya. Semua benda dia boleh buat.

"Sebab kemahuannya lebih daripada orang biasa.

"Kalau dia mahukan sesuatu, dia akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkannya," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen