Menceritakan pengalaman menjalani rawatan selama lebih dua bulan di Taiwan melibatkan tujuh doktor, Datuk Lee Chong Wei mengakui serangan kanser adalah detik paling sukar dalam hidupnya kerana ahli keluarga turut terkesan dengan keadaannya.

Chong Wei melahirkan rasa syukur kerana ahli keluarga, termasuk anak-anaknya, sentiasa di sisi memberi sokongan moral ketika dia sedang bertarung melawan kanser dengan menjalani rawatan sebanyak 33 kali Terapi Proton yang mengambil masa 35 minit setiap rawatan.

“Saya mula membuat pemeriksaan selepas mengalami simptom susah bernafas dan keluar sedikit darah ketika batuk.

"Apabila mengetahui positif kanser, saya menangis dan tidak mampu berfikir perkara lain, doktor di sini menasihatkan supaya membuat rawatan di Taiwan.

“Dua minggu pertama di Taiwan, saya mampu menghadapi rawatan yang diberikan tetapi masuk minggu ketiga, rawatan Terapi Proton semakin sukar buat diri saya...ia sangat menyakitkan anggota badan saya, terutama pada mulut dan leher.

“Waktu ini saya tidak boleh bercakap, tidak boleh makan dan hanya boleh minum susu. Saya menangis setiap kali cuba menelan makanan, leher saya hitam disebabkan rawatan itu,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu yang ditemani isterinya, Datin Wong Mew Choo, dalam sidang media di Bikit Kiara, hari ini.

Chong Weimula menyedari menghidap kanser pada Julai lalu dan dinasihatkan doktor supaya mengawal tekanan dan mendapatkan rehat yang cukup selain mengamalkan gaya pemakanan sihat.

Dia yang kehilangan lima kilogram susulan rawatan itu menasihatkan kepada pesakit kanser lain supaya cekal dalam menghadapi rawatan dan tidak mudah berputus asa kerana kanser boleh dirawat dengan adanya teknologi perubatan yang semakin canggih.

Dalam pada itu, walaupun disahkan bebas kanser, Chong Wei perlu menjalani rawatan susulan di Taiwan setiap tiga bulan.

-- BERNAMA