Pemain beregu lelaki negara, Andrew Chooi Kah Ming, enggan legasi bekas juara remaja dunia dalam skuad badminton berkubur meskipun berdepan pelbagai cabaran untuk memenuhi potensi dalam skuad senior.

Andrew memenangi gelaran remaja dunia itu bersama pasangannya, Ow Yao Han, pada edisi 2009 di Alor Setar, Kedah,.

Tujuh tahun kemudian, tiada siapa menyangka Andrew masih bergelut dalam saingan di peringkat senior sementara Yao Han mengambil keputusan untuk bersara baru-baru ini susulan menerima tawaran lumayan menjadi jurulatih di Amerika Syarikat.

Selain Yao Han, Nelson Heg merupakan seorang lagi bekas juara remaja dunia yang turut mengambil langkah yang sama tahun lalu, tetapi gandingannya, Teo Ee Yi, berupaya bangkit bersama Ong Yew Sin.

Buat Andrew yang pernah terlintas untuk mengambil jalan seperti itu, dia kini kembali disuntik semangat untuk melangkah jauh bersama gandingan barunya, Low Juan Shen.

"Dulu adalah terfikir tapi sekarang saya rasa boleh beraksi lagi.

"Memandangkan saya masih bermain untuk Malaysia, setiap kali menyertai kejohanan, saya mahu memberikan yang terbaik," katanya.

Dua kejohanan bersama Juen Shen pada tahun ini memberikan pulangan yang baik, iaitu suku akhir Grand Prix Vietnam dan separuh akhir Masters Indonesia.

Dia, bagaimanapun, enggan terburu-buru kerana mahu memastikan perjalanan kebangkitan kerjayanya untuk musim ini.

"Untuk bermain dalam Piala Thomas dan Kejohanann Dunia, mungkin saya belum ada keyakinan lagi.

"Saya akan mencuba secara berperingkat.

"Saya perlu habiskan musim ini dulu dan lihat sejauh mana perkembangan saya selain teruskan usaha untuk tahun depan."