Pemain badminton nombor satu negara, Lee Zii Jia, bukan sahaja mara ke pusingan kedua Kejohanan Seluruh England 2020 sebentar tadi, malah memadam rekod bersih jagoan Indonesia, Jonatan Christie, ke atasnya sejak 2018.

Empat pertemuan sebelum ini tidak pernah menyebelahi Zii Jia tidak kira sama ada kejohanan Siri Super mahupun di pentas lebih besar seperti Piala Thomas.

Jonatan yang sentiasa berada di ranking kelompok 10 terbaik dunia rupanya bukanlah kebal buat pemain utama kebangsaan itu buat selamanya.

Pemain kelahiran Kedah itu mempertaruhkan segala kudrat yang ada untuk menumbangkan seterunya tersebut dengan straight set dalam tempoh 41 minit di Birmingham.

Set pertama bermula rancak apabila kedua-dua pemain yang saling bertukar pendahuluan sehingga terikat 9-9.





Selepas itu, Zii Jia tidak lagi melakukan kesilapan dengan terus mendahului untuk menang set pertama 21-15.

Keupayaan sebenar pemain berumur 22 tahun itu semakin menyerlah dalam set kedua, seolah-olah tiada daya untuk bertahan, lawannya di tangga keenam dunia itu sedikit lesu sekali gus memudahkannya untuk mengutip mata mudah.

Walaupun sedikit terleka ketika mendahului 20-10, Zii Jia akhirnya mengecapi kemenangan 21-13 untuk mara dengan mencipta rekod terbaik peribadi -- menewaskan Jonatan buat kali pertama.

"Saya sangat gembira dengan permainan ini.

"Empat pertemuan sebelum ini saya tidak pernah menang ke atasnya tetapi berjaya dalam (percubaan) kelima.

"Esok, saya akan menentang pemain China, Lu Guang Zu, yang pernah saya tentang dalam Kejohanan Dunia tahun lalu.

"Saya pernah kalahkannya sekali.

"Saya akan berbincang dengan jurulatih dan berharap dapat bermain dengan lebih baik dari hari ini dan dapat bawa khabar gembira esok," katanya ketika dihubungi.