Beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, sah tidak akan menyertai Kejohanan Badminton Seluruh England bulan depan gara-gara terlepas tarikh pendaftaran.

V Shem mengakui terkilan kerana terlepas pandang tarih akhir pendaftaran itu pada 28 Januari lalu.

Ia kerana pada ketika itu, mereka sedang menumpukan perhatian kepada separuh akhir Masters Thailand dan bercuti sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Kelalaian itu juga menyaksikan mereka akan turut terlepas Kejohanan Terbuka Jerman, 3 Mac depan.

Ia jelas kecuaian yang besar ketika mereka sedang sibuk memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo, yang akan tamat April ini.

"Ketika itu, kami sedang berada di Bangkok untuk Masters Thailand.

"Selepas perlawanan separuh akhir, kami terus pulang ke Malaysia untuk sambutan Tahun Baru Cina.

"Dan tiba-tiba kami sedar tarikh akhirnya pada 28 Januari dan kami sudah terlepas.

"Kami cuba meminta bantuan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan mereka sudah mencuba tetapi tidak berjaya," katanya.

Sebagai pelan sokongan, beregu profesional itu akan menyertai tiga kejohanan lain, iaitu Terbuka Switzerland, Terbuka India dan Terbuka Malaysia.

"Mungkin selepas ini, saya dan Wee Kiong akan ke Switzerland tetapi ia masih dalam perancangan," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa