Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal berdepan cabaran menyediakan skuad ampuh ke kempen Piala Thomas selepas badan induk itu tidak berkesempatan meneliti prestasi pemain pemain profesional negara.

Kali terakhir prestasi kelompok profesional dinilai adalah Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Februari lalu akibat penularan Covid-19.

Pendapat itu disuarakan bekas pemain badminton perseorangan negara, Roslin Hashim, yang menekankan semua pemain perlu komited membuktikan mereka layak disenaraikan ke Aarhus, Denmark, Oktober nanti.

Ia susulan hampir empat bulan tidak menjalani latihan selepas saingan di Manila menjadi satu-satunya pentas penilaian pemain kebangsaan tanpa nama profesional yang membarisi saingan itu.

"Sudah tentu Lee Zii Jia menjadi pilihan saya tetapi daripada segi pengalaman, Liew Darren memiliki kelebihan bersama Iskandar Zulkarnain Zainuddin. Namun, Cheam June Wei menunjukkan keputusan baik ketika Kejohanan Berpasukan Asia," kata Roslin.

"Pengalaman yang ada pada Tan Wee Kiong dan Goh V Shem juga dilihat relevan."

Campuran daripada kedua-dua kem kebangsaan dan profesional akan mewujudkan elemen kerjasama berkesan yang membuahkan hasil memberangsangkan.

Dalam masa sama, sukar menyandarkan harapan pada skuad wanita di pentas Piala Uber sekali gus membuatkan Roslin menganggap ia pendedahan terbaik khasnya buat kem perseorangan wanita negara.

"Seperti S. Kisona, ini adalah peluang untuk mendapatkan pengalaman sebaik mungkin. Walaupun dia meraih pingat emas dalam Sukan SEA sebelum ini tetapi bagi saya, ia belum menguji keupayaannya yang sebenar."