Mengapa perlu memperlekehkan kejayaan badminton Malaysia dalam Sukan SEA Filipina 2019 sedangkan tiga pingat emas yang diraih membawa erti besar kepada masa depan sukan berkenaan.

Itu padangan bekas jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek, yang lazimnya lantang mengritik kekurangan dalam skuad kebangsaan.

Tetapi dia sebagai bekas pemain negara, yang menghadirkan pelbagai kejayaan di pentas tertinggi dunia, berasakan tiga pingat emas yang dimenangi di Filipina itu memiliki nilai istimewa.

Ini pada waktu badminton Malaysia disifatkan sebagai ketinggalan jauh berbanding seteru Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand.

"Terbuktilah yang Malaysia masih ada standard, mereka boleh diberikan harapan untuk mendapatkan emas.

"Semoga mereka dapat menjadikan ia sebagai motivasi untuk berjaya dalam arena lebih besar lagi," katanya hari ini.

Di sebalik kekaguman ke atas kejayaan perseorangan wanita, S. Kisona, dalam temasya dwitahunan itu, Rashid juga berasakan dua lagi pemenang pingat emas, iaitu perseorangan dan beregu lelaki, Lee Zii Jia serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik, wajar diberikan pujian.

Walaupun ketiadaan dua wakil terbaik Indonesia dalam setiap kategori, Rashid menegaskan tonggak negara menampakkan kematangan sebagai pilihan dalam Sukan SEA.

"Memang peluang banyak berpihak kepada mereka untuk bergelar juara tetapi (mutu) persembahan mereka kelihatan semakin matang."