Kelab Badminton (KB) Petaling menyasarkan kedudukan lebih baik berbanding di tempat kelima musim lalu dalam SS Purple League kali ini.

Dalam perlawanan pertama pasukan itu, anak buah Yap Kim Hock melakar kemenangan ke atas KB Kepong 12-7 di Sports Arena Sentosa, sebentar tadi.

“Dalam perlawanan hari ini, daripada acara perseorangan hinggalah acara beregu, kekuatan pasukan KB Petaling dan KB Kepong tidaklah jauh berbeza. Jadi, ianya adalah satu perlawanan yang sengit untuk kedua-dua pasukan.

“Untuk saingan kali ini, saya dapat rasakan motivasi pasukan lebih tinggi berbanding musim lalu. Pemain-pemain nampak bersemangat untuk memburu kejuaraan. Jadi, dengan motivasi yang tinggi ini, saya sasarkan untuk berada di kedudukan lebih tinggi daripada musim lalu,” kata Kim Hock.

Dalam perlawanan tadi, KB Petaling mendapat mata kemenangan pertama melalui pemain berpengalaman, Kenichi Tago, yang menang 3-0 (11-10, 11-9, 11-9) berdepan pemain KB Kepong, Soong Joo Ven, dalam acara perseorangan lelaki.

Acara perseorangan wanita pula, KB Kepong kembali garang selepas pemainnya, Ho Yen Mei, berjaya menumpaskan pemain KB Petaling, Hera Desiana Rachmawati, dengan 3-1 (11-8, 5-11, 11-7, 11-6).

Selepas itu, acara beregu lelaki berlangsung dengan lebih sengit. Beregu lelaki KB Petaling, Goh V Shem-Shia Chun Kang, terikat 2-2 (11-9, 9-11, 9-11, 10-8) dalam tempoh 30 minit bertemu gandingan KB Kepong, Tan Chee Tean-Yang Po Han.

KB Petaling terus garang selepas itu apabila mencatatkan kemenangan dalam beregu campuran. Chen Tang Jie-Devi Tika Permatasari mengatasi Cheah Yee See-Goh Soon Huat dengan 3-1 (10-11, 11-8, 11-10, 6-4) untuk mengubah kedudukan keseluruhan kepada 9-6.

Iskandar Zulkarnain, yang turun dalam acara perseorangan lelaki terakhir, melengkapkan kemenangan bergaya pasukan KB Petaling selepas dia mengatasi pemain KB Kepong, Thongnuam Pannawit, 3-1 (5-11, 11-10, 11-5, 11-10).

Sebelum itu, dalam satu lagi perlawanan pada sebelah petang, KB Petaling Jaya selaku juara bertahan kejohanan ini memulakan saingan dengan langkah kanan setelah berjaya menang 11-8 mengatasi KB Serdang.

Saingan peringkat pertama Purple League 2017/18 akan bersambung esok di lokasi sama, menemukan KB Ampang Jaya dengan KB Cheras pada pukul 4 petang manakala satu lagi pertemuan adalah di antara KB Bangsar Hawks dan KB Puchong United pada jam 8 malam.


Keputusan hari ini:

KB Petaling mn KB Kepong 12-7

MS2: Kenichi Tago mn Soong Joo Ven 3-0 (11-10, 11-9, 11-9)
WS: Hera Desiana Rachmawati kk Ho Yen Mei 1-3 (8-11, 11-5, 7-11, 6-11)
MD: Goh V Shem-Shia Chun Kang seri Tan Chee Tean-Yang Po Han 2-2 (11-9, 9-11, 9-11, 10-8)
XD: Chen Tang Jie-Devi Tika Permatasari mn Cheah Yee See-Goh Soon Huat 3-1 (10-11, 11-8, 11-10, 6-4)
MS1: Iskandar Zulkarnain Zainuddin mn Thongnuam Pannawit 3-1 (5-11, 11-10, 11-5, 11-10)

KB Petaling Jaya kalahkan KB Serdang 11-8

MS2: Goh Giap Chin mn Yu Chen 3-1 (11-10, 4-11, 11-9, 11-1)
WS: Lee Zii Yii kk Lee Ying Ying 0-3 (5-11, 6-11, 6-11)
MD: Chooi Kah Ming-Low Juan Shen mn Pei Tianyi-Tan Jinn Hwa 3-1 (6-11, 11-6, 11-10, 11-7)
XD: K. Yogendran-Prajakta Sawant kk Chen Hsiao Huan-Lu Ching Yao 2-3 (9-11, 11-7, 10-11, 11-10, 0-1)
MS1: Lee Cheuk Yiu mn Lee Zii Jia 3-0 (11-6, 11-2, 11-10)