Kelab Badminton (KB) Ampang Jaya kembali mencatat kemenangan dalam misi memburu slot enam pasukan terbaik pusingan round robin untuk mara ke peringkat akhir SS Purple League (SSPL) 2017/18 setelah menewaskan KB Kepong 12-11 di Sports Arena Sentosa, sebentar tadi.

Pasukan KB Kepong berada di depan setelah menang dalam acara perseorangan lelaki menerusi pemainnya, Lim Chi Wing. Dia menang tipis 3-2 (9-11, 11-3, 1-11, 11-10, 5-4) mengatasi pemain KB Ampang Jaya, Yan Runze.

Bagaimanapun, KB Ampang Jaya kembali bangkit dalam acara perseorangan wanita. Pemainnya, Goh Jin Wei, menang 3-2 (11-6, 10-11, 11-2, 8-11, 5-4) mengalahkan Natsuki Higuchi, sekali gus menyamakan kutipan set mata keseluruhan menjadi 5-5.

Dalam acara beregu lelaki, perlawanan berlangsung dengan begitu menarik di antara gandingan KB Ampang Jaya, Lukhi Nugroho-Syawal Ismail, dan Liao Min Chun-Su Ching Heng sehingga mengheret perlawanan ke rubber set.

Namun, ia memihak pasangan KB Ampang Jaya yang menang 3-2 (11-10, 10-11, 11-10, 7-11, 7-5), menjadikan kedudukan set mata keseluruhan 8-7.

Saingan terus panas dalam acara beregu campuran dengan gaya permainan pantas dipersembahkan oleh kedua-dua pasukan menyaksikan Chan Peng Soon-Ririn Amelia dari KB Ampang Jaya dan Cheah Yee See-Nur Mohd Azriyn terpaksa berkongsi mata seri 2-2 (11-10, 6-11, 9-11, 7-5).

Keputusan itu menyaksikan KB Ampang Jaya masih mendahului 10-9 secara keseluruhan mata.

Aksi dalam acara perseorangan lelaki di antara Zulfadli Zulkiffli dari KB Ampang Jaya dan Soong Joo Ven dari KB Kepong juga berlangsung sengit. Ia berakhir dengan keputusan seri 2-2 (11-5, 5-11, 11-7, 8-10) dalam tempoh 30 minit perlawanan, sekali gus membolehkan KB Ampang Jaya memenangi aksi ini.

Syawal Ismail selaku pemain dan juga merangkap jurulatih KB Ampang Jaya berkata: “Alhamdulilah saya bermain dengan baik malam ini. Saya tidak terlalu memikirkan kemenangan tetapi fokus kepada perlawanan kerana saya tahu pasangan beregu pihak lawan tadi adalah antara yang terbaik dunia. Jadi, bangga dengan kemenangan mengatasi mereka 3-2.

“Kami lebih kepada mendapatkan kedudukan enam terbaik untuk layak setakat ini. Jadi, di kedudukan ke berapa sekalipun tidak kisah asalkan layak ke peringkat akhir.

"Kalau boleh, saya mahu terus memberikan tentangan sengit kepada pemain bertaraf dunia lain kerana kedudukan saya selaku pemain dan juga jurulatih dalam pasukan ini. Menang adalah satu bonus kepada saya,” ujarnya selepas perlawanan.

Satu lagi perlawanan petang tadi menyaksikan KB Petaling juga melakar kemenangan 13-9 ke atas KB Bangsar Hawks.

Keputusan hari ini:

KB Ampang Jaya kalahkan KB Kepong 12-11

MS2: Yan Runze kalah kepada Lim Chi Wing 2-3 (11-9, 3-11, 11-1, 10-11, 4-5)
WS: Goh Jin Wei kalahkan Natsuki Higuchi 3-2 (11-6, 10-11, 11-2, 8-11, 5-4)
MD: Lukhi Apri Nugroho-Muhd Syawal Mohd Ismail kalahkan Liao Min Chun-Su Ching Heng 3-2 (11-10, 10-11, 11-10, 7-11, 7-5)
XD: Chan Peng Soon-Ririn Amelia seri dengan Cheah Yee See-Nur Mohd Azriyn Ayub 2-2 (11-10, 6-11, 9-11, 7-5)
MS1: Zulfadli Zulkiffli seri dengan Soong Joo Ven 2-2 (11-5, 5-11, 11-7, 8-10)


KB Bangsar Hawks kalah kepada KB Petaling 9-13

MS2: Zhang Song Ye kalah kepada Kenichi Tago 2-3 (6-11, 11-8, 4-11, 11-4, 6-11)
WS: Shen Yabing kalah kepada Hera Desiana Rachmawati 0-3 (10-11, 2-11, 4-11)
MD: Dede Ryan Philip-Yap Qar Siong kalahkan Goh V Shem-Ian Wong Jien Sern 3-1 (11-9, 9-11, 11-10, 11-9)
XD: Hiripong Sathorn-Liu Lin kalah kepada Chen Tang Jie-Devi Tika Permatasari 2-3 (10-11, 11-5, 7-11, 11-8, 10-11)
MS1: Zulhelmi Zulkiffli kalah kepada Iskandar Zulkarnain Zainuddin 2-3 (3-11, 11-8, 11-6, 8-11, 5-7)