Pemain badminton beregu profesional negara, Tan Wee Kiong, menjelaskan kepentingan mereka untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan biarpun terdapat desas-desus bahawa khidmat mereka mungkin diperlukan kem kebangsaan bagi menghadapi Piala Thomas di Denmark, Mei depan.

Piala Thomas tidak menawarkan sebarang mata kelayakan ke temasya sukan terbesar itu.

Wee Kiong dan gandingannya, Goh V Shem, berasakan kegagalan mereka untuk menyertai Kejohanan Seluruh England kerana kelewatan pendaftaran membuatkan mereka tiada pilihan selain menyertai Terbuka Swizerland bulan depan.

Selain itu, mereka juga perlu melakukan keajaiban dalam Terbuka India sebelum tarikh akhir pungutan mata ke Tokyo pada 30 April depan.

"Memang ada sedikit kesan tetapi kami perlu menghadapinya dengan sikap yang positif.

"Ia memang kesilapan kami (lewat menghantar borang pendaftaran) dan kami perlu melakukan yang terbaik dan tidak berputus asa.

"Itulah perkara paling penting buat masa ini," katanya.