Gandingan beregu skuad Piala Thomas negara memberi tentangan hebat tetapi belum memadai buat mereka menyumbangkan mata, sekali gus terkandas dalam suku akhir selepas tunduk di tangan Indonesia.

Diletakkan sebagai beregu pertama, harapan tinggi disandarkan kepada gandingan Goh V Shem-/Tan Wee Kiong untuk meneruskan momentum kemenangan yang dihasilkan oleh Datuk Lee Chong Wei.

Berdepan beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, mereka terpaksa bangkit selepas tumpas set pertama 19-21 untuk merampas set berikutnya 22-20.

Bagaimanapun, kebangkitan itu hanya sementara selepas mereka terpaksa menerima kekalahan 13-21 dalam set penentuan.

"Aksi dalam suku akhir lebih baik berbanding sebelum ini, cuma pihak lawan begitu pantas hingga membuatkan kami tidak dapat mengawal permainan," kata V Shem.

"Lawan mempunyai tuah, mereka meraih beberapa pukulan yang lebih bahaya untuk mendapatkan mata," tambah Wee Kiong.

Gandingan kedua, Aaron Chia-Teo Ee Yi diberikan tekanan yang cukup tinggi susulan kekalahan Lee Zii Jia dalam aksi perseorangan kedua.

Halangan mereka merupakan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dan pertemuan itu juga terpaksa ditentukan menerusi set penentuan, sebelum beberapa kesilapan mengundang padah buat mereka, seterusnya tewas 18-21, 21-10, 9-21.

"Sebaik sahaja aksi penentuan bermula, kami agak tergesa-gesa. Terlalu memikirkan corak permainan untuk menang dan tidak seperti dalam set kedua dan ia menjadi satu kesilapan," ujar Ee Yi.