Pemain badminton perseorangan ketiga negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, tidak rela menjadi punca kegagalan skuad kebangsaan dalam saingan Piala Thomas selepas prestasinya masih mencetuskan persoalan sehingga ke persediaan terakhir.

Iskandar tidak mempunyai pilihan lain sebaik namanya diletakkan selaku pemain perseorangan ketiga dalam saingan Piala Thomas 2018 di Bangkok, apabila harus meletakkan diri dalam keadaan terbaik untuk turun beraksi.

Mengakui tekanan yang dihadapi, Iskandar tidak mahu namanya sekali lagi dikaitkan dengan kegagalan skuad negara ketika pentas Piala Thomas adalah jawapan kepada kekuatan sebenar skuad badminton negara ketika ini

“Dalam saingan Sukan SEA tahun lalu, saya dilihat sebagai punca kekalahan selepas beraksi sebagai perseorangan pertama, jadi kali ini diharapkan saya dapat menebus kekecewaan apabila beraksi selaku pemain penentu. Mungkin saya boleh menjadi wira,” katanya.

Mengambil kira contoh pemain perseorangan negara yang berjaya mengatasi tekanan ketika saingan berlanjutan ke aksi penentuan, Iskandar mahu mengambil semangat yang dimiliki Rashid Sidek pada 1992 apabila tidak menunjukkan sifat mengalah sehingga membawa kepada gelaran juara buat Malaysia selepas 25 tahun dengan mengatasi Indonesia 3-2 pada waktu itu.

“Dalam edisi sebelum ini, ramai pemain yang kecundang dalam set ketiga seperti Roslin Hashim, Chong Wei Feng dan Liew Daren. Jadi, apa yang boleh dilihat adalah kerisauan itu meningkat apabila tekanan memuncak.

“Ketika latihan, jurulatih juga ada meminta kami membayangkan aksi getir sewaktu perlawanan pada kedudukan 2-2 dan cuba untuk menjadi wira. Kami cuba menjadi positif,” tambahnya.

Skuad Piala Thomas dan Piala Uber negara berlepas ke Bangkok, Thailand hari ini.