Skuad terbaik badminton dunia sedang memburu khidmat legenda Indonesia, Rexy Mainaky, tetapi Malaysia buat masa ini berpuas hati dengan barisan kejurulatihan sedia ada.

Rexy tidak lagi terikat dengan Indonesia susulan keputusan Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PSSI) untuk merombak barisan kejurulatihan mereka.

Kedudukan Rexy sebagai pengarah prestasi tinggi badan induk itu kini menjadi tugasan bekas ikon perseorangan wanita mereka, Susi Susanti.

Rexy merupakan bekas jurulatih beregu Malaysia dari 2005 sehingga 2012 dan berhasil meningkatkan profil skuad beregu lelaki menerusi bekas gandingan utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Ikatan Rexy dan Malaysia masih utuh memandangkan keluarganya masih bermastautin di sini, sekaligus menerbitkan spekulasi untuk kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost, mengalu-alukan sebarang perbincangan dengan Rexy tetapi persoalan yang bangkit apakah masih ada kekosongan dalam skuad negara?

Frost melengkapkan struktur kejurulatihan apabila melantik semula Rosman Razak untuk memperkuatkan skuad beregu lelaki di samping Jeremy Gan dan Cheah Soon Kit.

“Saya sentiasa bersikap terbuka untuk menjalankan perbincangan bersama Rexy tetapi kami memiliki barisan kejurulatihan yang lengkap dan saya sangat gembira dengan prestasi jurulatih-jurulatih saya,” jelas Frost.

Barisan kejurulatihan BAM cukup mantap di bawah pimpinan Frost di mana jurulatih kategori perseorangan lelaki dibarisi oleh Hendrawan, Tey Seu Bock dan Indra Wijaya.

Bekas pemain kebangsaan, Sairol Amar Ayub, bertanggungjawab untuk menaikkan taraf perseorangan wanita sementara Rosman yang berkhidmat di bawah Sports Affairs kembali di bawah naungan BAM.