Dua aksi final dalam tempoh terdekat membuktikan program yang dikendalikan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, mula menampakkan hasil untuk mengembalikan reputasi badminton Malaysia.

Selepas Lee Zii Jia mencipta sensasi memenangi Terbuka Taiwan minggu lalu, rakan sepasukan, Cheam June Wei, turut cemerlang apabila mara ke final Terbuka Belanda.

Perancangan yang dibentuk sebaik sahaja beliau mengambil alih jawatan ketua jurulatih pada Julai 2017 mula membuktikan bahawa skuad perseorangan negara masih mempunyai harapan sekalipun sebelum ini kerap dikritik ekoran aksi hambar dalam kejohanan antarabangsa.

Namun, Misbun menegaskan perjalanan masih jauh buat barisan muda negara dalam membentuk diri menjadi seperti pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei.

"June Wei pernah menjuarai kejohanan di sana (Belanda) tetapi di peringkat yang lebih rendah.

"Oleh itu, kami lanjutkan pendedahan mereka kerana tahun depan sangat penting buat mereka dalam misi mengejar mata dan gelaran.

"Inilah pengalaman-pengalaman yang perlu didedahkan kepada mereka," katanya.

June Wei pernah menawan kejuaraan antarabangsa di Belanda pada April lalu di samping dua gelaran naib juara dalam saingan Terbuka Finland serta Cabaran Antarabangsa Austria.

"Sabarlah. Membina seorang pemain bukan satu tugas yang mudah, kami harus kaji seluruh aspek, termasuk kaedah negara lain serta modul yang akan saya terapkan kepada mereka," katanya lagi.