Penundaan Piala Thomas dan Uber ke tahun depan memberikan implikasi besar kepada musim 2021 buat pemain terbaik Malaysia.

Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, misalnya perlu memikirkan bagaimana untuk mencabar atlet elit dunia di pentas Sukan Olimpik dan mengetuai Malaysia dalam dua kejohanan berpasukan.

Selain Sukan Olimpik Tokyo dan Piala Thomas-Uber dua saingan penting dalam kalendar badminton 2021 termasuk Piala Sudirman dan Kejohanan Dunia.

Ini termasuk keperluan badminton dunia untuk memperinci Prosedur Operasi Standard (SOP) lebih ketat bagi memastikan aksi kompetetif kembali bernyawa sebelum tamat musim 2020.

"Saya ada berhubung dengan Victor Axelsen dan pasukan Denmark amat mahukan kembali beraksi di peringkat kompetitif namun perlu akur dengan situasi semasa," kata Zii Jia.

"Tahun 2021 akan menjadi saingan yang sangat sengit namun kami perlu menghadapinya.

"Kem latihan di Pulau Tioman membenarkan kami untuk lebih bersatu dan saya yakin pasukan Malaysia mampu menampilkan aksi yang lebih berkualiti."

Sementara itu, penundaan Piala Uber ke musim depan bakal menjadi kelebihan buat skuad perseorangan wanita.

Misalnya, Goh Jin Wei, yang masih tidak teruji di pentas kompetetif sejak menjalani pembedahan usus Oktober 2019 sementara S. Kisona pula yang mengalami kecederaan baru-baru ini.

"Saya berasakan ia adalah perkara yang positif buat Piala Uber ditunda ketika ini supaya membenarkan kami untuk lebih bersedia," kata pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah.

"Saya tidak kecewa dengan penundaan ini kerana keutamaan sekarang adalah kesihatan."

Sementara itu, Soniia berasakan kejohanan dalaman anjuran BAM seperti perebutan Piala Presiden yang akan membuka tirai esok wajar diperbanyakkan bagi memastikan pemain tidak hilang sentuhan sebelum kembalinya saingan antarabangsa.

"Ia memberikan keterujaan buat setiap pemain ketika tiada pertandingan yang bakal dianjurkan dalam masa terdekat serta ia memastikan motivasi pemain di tahap terbaik," katanya lagi.