Pemain beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon, menegaskan dia dan gandingannya, Goh Liu Ying, perlu bijak menangani turun naik prestasi sepanjang musim mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pasangan itu sudah melalui dua kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik setakat ini.

Dalam Terbuka New Zealand awal bulan lalu, mereka menewaskan pasangan meningkat naik Indonesia, Praveen Jordan-Melati Oktavianti, untuk bergelar juara.

Bagaimanapun, gandingan yang sama itu menunjukkan mereka jalan keluar dalam suku akhir Terbuka Australia, Jumaat lalu.

"Prestasi kami dalam Terbuka Australia belum cukup memuaskan hati saya.

"Ia bukanlah prestasi 100 peratus daripada kami.

"Amat sayang apabila kami tidak dapat memberikan aksi yang lebih baik sehingga tewas ketika itu," katanya.

Gandingan profesional itu akan beraksi di dua pentas elit, iaitu Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun, selain Terbuka Thailand sepanjang bulan depan.

Meskipun kutipan mata kelayakan menjadi keutamaan, Peng Soon tetap berasa realistik untuk menyasarkan kejuaraan dalam salah satu daripada tiga kejohanan berkenaan.

"Keyakinan itu masih ada, cuma tahap badminton di seluruh dunia sudah semakin meningkat.

"Jika anda beraksi konsisten, anda akan memenangi perlawanan," tambahnya.