Peng Soon enggan terlepas perlawanan amal di Genting

Oleh Staff Writer 25 Disember 2019 283
Peng Soon enggan terlepas perlawanan amal di Genting
Pemain beregu campuran profesional, Chan Peng Soon, tidak berhasrat untuk menarik diri daripada perlawanan amal menentang bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei, Sabtu ini biarpun keadaan fizikalnya tidak 100 peratus cergas.

Peng Soon tetap meneruskan latihan seperti biasa di sebalik mengalami sindrom bell's palsy yang menyebabkan atlet kelahiran Pulau Pinang itu mengalami lumpuh di sebahagian muka.

Baginya, latihan perlu berjalan seperti biasa memandangkan jadual padat menantinya untuk kalendar 2020, dengan Masters Malaysia bakal membuka tirai 7 Januari depan selain teruja untuk menghadapi perlawanan amal menentang Chong Wei di Genting Highlands.

"Saya perlu melihat kepada tahap kecergasan saya terlebih dahulu. Bagaimanapun, saya sangat teruja untuk berdepan Chong Wei dalam perlawanan amal ini," katanya.

Turut sama akan beraksi Sabtu ini adalah rakan sepasukan Peng Soon, Goh Liu Ying.

Perlawanan amal anjuran Kelab Badminton Ampang Jaya itu turut menjemput perseorangan Indonesia, Jonatan Christie, serta perseorangan lelaki profesional, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

"Perlawanan amal ini jarang dilakukan di Malaysia, saya teruja dan berharap ramai yang bakal hadir menyaksikannya," kata Liu Ying.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen