'Ditelan mati emak, di luah mati bapa', begitulah perumpamaan yang menceritakan dilema membabitkan dua beregu profesional negara yang terpaksa mengorbankan latihan sepenuh masa bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi pemilihan ke Piala Thomas.

Perkhabaran kurang enak sudah mula kedengaran susulan keluhan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele, berhubung situasi semasa skuad itu.

Dia menghadapi kesukaran untuk menilai barisan terbaik ke Piala Thomas memandangkan V Shem-Wee Kiong serta Teo Ee Yi-Ong Yew Sin hanya berlatih dua kali seminggu di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Walhal dua gandingan itu sebelum ini menerima jemputan berlatih sepenuh masa bersama skuad kebangsaan.

"Jika saya bersama Wee Kiong serta Ee Yi-Yew Sin berlatih di ABM, ia akan memberikan kesukaran buat Chan Peng Soon serta Goh Liu Ying bagi mendapatkan rakan sepelatih," kata V Shem.

"Kami masih belum berbincang (mengenai latihan sepenuh masa di ABM). Kami berasakan terdapat kesukaran kerana mahu turut membantu menjadi rakan sepelatih buat Peng Soon-Liu Ying.

"Buat masa ini, tiada lagi senarai penuh skuad Piala Thomas, kami akan memberikan yang terbaik jika terpilih ke Aarhus nanti."