Individu yang merancang kejayaan pingat emas pertama Singapura dalam Sukan Olimpik Rio 2016, Robert Gambardella, dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang baru.

Ia demi memastikan program badminton negara boleh beroperasi tanpa bergantung kepada dana kerajaan bermula 2022.

Tetapi adakah kehadiran Gambardella itu akan menyaksikan campur tangan dalam urusan teknikal skuad senior dan remaja kebangsaan?

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai dua supremo dalam bentuk Wong Choong Hann, yang bertanggungjawab ke atas skuad senior, dan Datuk Misbun Sidek pula mengetuai pembentukan skuad remaja.

Adakah kehadiran Gambardella bermula 1 Ogos ini akan mencorakkan program baru atau bertujuan membantu perincian permintaan dua individu berkenaan?

"Dia (Gambardella) akan memberi laporan keseluruhan ABM, termasuk sains sukan, KPI (indeks petunjuk prestasi) dan penajaan. Apa yang penting bagi kami, ini adalah cara lain untuk membantu mereka dengan merangka stategi dan visi hala tuju kami," kata Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Bagaimanapun kepakaran Gambardella dalam aspek sains sukan dan pengurusan akan menjadi aset buat BAM.

Ia juga melibatkan bahagian teknikal skuad kebangsaan yang perlu sesuaikan dengan mencari semula prestasi terbaik pemain pasca waktu rehat COVID-19.

"Kami di ABM hanya mendapat dana daripada kerajaan untuk tahun ini dan tahun depan. Selepas tahun ketiga, kami perlu mencari dana sendiri.

"Ia sangat penting untuk menggabungkan aspek sains sukan dan pengurusan, terutama ketika kami ingin mencapai misi pada 2021 and 2024," tambahnya.