Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, ingin melahirkan lebih ramai pelapis muda dengan meneruskan kejohanan Liga Remaja Kebangsaan Air Asia-BAM.

Norza, yang enggan bergantung kepada pemain senior di masa akan datang, menganggap kejohanan badminton liga remaja itu sebagai langkah mencungkil bakat pemain muda untuk dipertandingkan ke peringkat kebangsaan.

Tambahnya, penglibatan pemain dalam kejohanan itu bagi tahun ini meningkat sebanyak 32 peratus daripada sekolah di seluruh negara.

"Apa yang telah kami buat adalah di setiap negeri pertandingan berasaskan sekolah-sekolah, 16 pasukan maksimum untuk lelaki dan wanita.

"Ia membantu mereka untuk menyertai pasukan kebangsaan," kata Norza.

Sementara itu, ketua jurulatih pasukan badminton remaja Selangor, Danan Jaya, melatih pemain agar tidak mengambil mudah perlawanan kali ini walaupun sudah bergelar juara musim lalu.

"Kami sudah jangkakan aksi sengit di pentas akhir tetapi persiapan untuk merangkul kejuaraan tetap dilakukan. Kami sentiasa cuba sedaya-upaya untuk mendapatkan kemenangan," ujarnya.

Selangor sekali lagi merangkul gelaran juara dalam perlawanan akhir edisi 2018 selepas mengungguli saingan lelaki dan wanita buat kali kedua di Bukit Kiara, hari ini.

Edisi kedua liga berprestij itu masih mengekalkan konsep berpasukan yang menyaksikan Selangor berdepan Pulau Pinang dalam kedua-dua saingan lelaki dan wanita.

Selangor menepati ramalan untuk muncul juara selepas menewaskan lawan 3-1 tatkala wakil Kedah menduduki tangga ketiga setelah mengatasi Melaka dan Kuala Lumpur 3-1 untuk kategori lelaki dan wanita.