Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, mempunyai perancangan khas buat permata baru negara, Leong Jun Hao, agar dia tidak hanyut seperti prospek berbakat terdahulu.

Arena badminton perseorangan lelaki Malaysia kerap kali dibelenggu persoalan mengenai hala tuju serta kegagalan memberi impak ketika beraksi dalam kejohanan peringkat antarabangsa selain terlalu bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei.

Antaranya seperti bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli, dan bekas juara remaja Asia, Soo Teck Zhi.

Bagi mengelak perkara-perkara ini berlaku sekali lagi, Misbun mengambil langkah untuk untuk mengelak satu lagi episod duka dengan membantu Jun Hao untuk memenuhi potensinya.

“Permata seperti Jun Hao perlu terus digilap dan kami akan memberikan panduan yang terbaik untuk dia cemerlang,” kata Misbun.

"Ramai pemain yang sudah berpuas hati apabila mencipta kejayaan di peringkat remaja. Sekurang-kurangnya 40 peratus lagi peningkatan yang boleh dilakukan oleh Jun Hao sebelum berada pada tahap terbaiknya."

Ketika menerima suntikan ilmu yang bakal diturunkan oleh Misbun, Jun Hao juga perlu memastikan dirinya membuktikan segala kemahuannya bergelar pemain yang bertaraf bintang serta mengutamakan latihan dan kejohanan.

Hanya selepas itu, dia berupaya menikmati pencapaian bergelar juara remaja Asia dan naib juara remaja dunia musim ini apabila beralih ke pentas senior nanti.

“Kami tidak mahu Jun Hao memandang remeh kepada setiap latihan yang diberikan. Perancangan istimewanya adalah kami akan memantau peningkatan dalam prestasinya dan akan memberikan pendedahan beraksi dalam kejohanan.

"Saya percaya Jun Hao mampu mencapai ke tahap yang tinggi."