Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, berpandangan pemain yang keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mencari ruang yang lebih selesa untuk latihan dan pertandingan.

Skuad badminton negara kehilangan beberapa pemain senior menjelang musim 2019 susulan penarikan diri gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

Selain itu, timbul spekulasi beregu lelaki, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong juga akan mengikuti jejak yang sama.

Sebagai pemain paling senior dalam skuad negara, Chong Wei menganggap keputusan mereka perlu dihormati kerana percaya tanggungjawab mereka tetap sama untuk membawa perjuangan Malaysia di pentas antarabangsa.

"Perkara yang penting adalah keselesaan buat pemain itu sendiri kerana profesional atau di bawah BAM, tujuan utama adalah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa," katanya dalam Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan (SHAKAM) 2018 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.

Chong Wei merupakan antara yang terbabit bersama kontinjen negara ke Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.

Skuad badminton meraih jumlah keseluruhan insentif sebanyak RM280,000, dengan Chong Wei menyumbangkan satu emas perseorangan selain pingat perak dalam acara berpasukan.

Dalam pada itu, Chong Wei percaya dia semakin hampir untuk kembali ke gelanggang latihan dengan rawatan susulan yang dijalani di Taiwan memberi kesan positif.

"Segalanya berjalan lancar. Saya akan kembali ke Taiwan untuk meneruskan rawatan dan berharap untuk kembali ke gelanggang selepas ini," ujarnya.