Petanda positif buat pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, selepas berjaya mencatatkan kemenangan pertama ke atas naib juara dunia musim lalu, Anders Antonsen, dalam Kejohanan Masters Malaysia 2020 di Arena Axiata sebentar tadi.

Pemain di kedudukan ke-14 dunia itu terpaksa berhempas-pulas sehingga diheret ke set penentuan sebelum menewaskan Antonsen yang berada di ranking keempat dunia 14-21, 21-15, 21-8.

Pemain berusia 22 tahun itu juga melakar sejarah peribadi menundukkan Antonsen selepas rekod perlawanan menyaksikan Zii Jia tewas dua kali dalam saingan Terbuka Indonesia dan Masters Indonesia 2019.

Kemenangan itu memberi bayangan bahawa Zii Jia mampu menepati ramalan sebagai penyambung legasi Datuk Lee Chong Wei untuk mengharumkan nama negara di persada dunia.

"Terima kasih kepada penyokong kerana memberikan semangat untuk saya melakar kemenangan. Saya memang gagal beraksi cemerlang dalam set pertama sebelum bangkit dalam dua set berikutnya," katanya.

Sementara itu, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu meluahkan rasa lega selepas melepasi pusingan pertama, sekali gus menjadi pemangkin semangat untuk dia meneruskan kemaraan sebagai sandaran utama tuan rumah.

"Semestinya tekanan dalam pertandingan serta pusingan pertama sangat tinggi buat setiap pemain. Saya berasa lega melepasinya dan cabaran selepas ini mampu saya tangani dengan lebih yakin."



Editor: Ammar Hakim