Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terpaksa menerima hakikat bahawa perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, masih belum bersedia sepenuhnya untuk kembali beraksi secara kompetitif.

Sebelum ini, pemain berusia 19 tahun itu dilaporkan bakal menggantikan tempat Soniia Cheah yang mengalami kecederaan untuk beraksi dalam Kejohanan Masters Malaysia.

Namun, Jin Wei -- yang menjalani pembedahan mengeluarkan 1.5 meter daripada usus besarnya bagi mengatasi penyakit yang berpunca daripada sembelit kronik tiga bulan lalu -- disahkan tidak akan beraksi oleh BAM selepas memerlukan jangka masa lebih lama untuk pulih sepenuhnya.

Menerusi kenyataan dalam laman sosial Facebook, BAM mengumumkan penarikan semula penyertaan Jin Wei dalam kejohanan itu selepas barisan kejurulatihan berpendapat dia memerlukan tahap kecergasan maksimum untuk beraksi.

"Pihak kejurulatihan percaya bahawa pemain berusia 19 tahun itu memerlukan lebih masa untuk mendapatkan semula kecergasan terbaik sebelum kembali beraksi," kata wakil badan itu.

Situasi itu menyaksikan tiada wakil negara bagi acara perseorangan wanita dalam kejohanan itu yang akan bermula Selasa ini.



Editor: Nafis Abdullah