Skuad lelaki negara terpaksa akur dengan kekalahan 2-3 di tangan Thailand dalam aksi pertama peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Alor Setar, Kedah, malam tadi

Kekalahan itu menjadikan baki dua pertemuan menentang Myanmmar dan Taiwan selepas ini sebagai misi hidup mati untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir.

Terikat 2-2 selepas kedua-dua beregu kecundang menyaksikan tekanan terpaksa dipikul oleh pemain perseorangan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, namun dia tetap mampu mempamerkan kemampuan sebenar sebelum tewas kepada Kanthapon Wangcharoen yang menjadi wira Thailand.

"Kami tidak menjangkakan keputusan ini dan meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia. Peluang masih ada dan kami akan cuba mendapatkan momentum kemenangan selepas ini," kata Iskandar.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan apabila anak-anak buahnya gagal menyumbangkan sebarang mata, terutamaa gandingan Tan Wee Kiong-Goh V Shem.

"Secara jujur, saya berpendapat beregu kami bermain agak baik tetapi pihak Thailand bijak menggunakan setiap kesempatan yang ada, sekali gus membolehkan mereka terus meraih keyakinan untuk menundukkan Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, moral skuad negara untuk berjuang terus membara dan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek, menegaskan mereka menerima kekalahan itu sebagai tanggungjawab satu pasukan.

"Kami sudah menjangkakan saingan hebat daripada Thailand dan kami akan bekerjasama untuk memperbaiki segala kelemahan dalam perlawanan ini. Ia melibatkan sepasukan," ujar Misbun.