Sarawak menjadi negeri terbaru sebagai pentas penganjuran sirkit badminton Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM yang akan bermula esok hingga Ahad ini.

Menteri Muda Belia dan Sukan Negeri, Datuk Snowdan Lawan, berkata sebanyak 12 pasukan lelaki dan lima pasukan wanita akan bersaing untuk mencari "juara negeri" dalam liga peringkat negeri itu sebelum berentap di peringkat kebangsaan.

Dianjurkan bersama oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Badminton Sarawak (SBA), liga yang mengguna pakai format Piala Thomas dan Piala Uber itu akan berlangsung di Dewan Badminton SBA, Kuching.

"Liga ini merupakan inisiatif persatuan, terutama BAM dalam mencari bakat-bakat baru di seluruh negara.

"Ia membuktikan BAM serius dalam mencari pengganti Datuk Lee Chong Wei," katanya pada sidang media sempena perasmian kejohanan itu di Kuching semalam.

Turut hadir Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, dan Presiden SBA, Tan Sri Abdul Aziz Hussin.

Snowdan berkata kementeriannya komited untuk membantu BAM dalam program pencarian dan pengembangan bakat, terutama menyediakan prasarana untuk program pembangunan badminton di peringkat akar umbi.

"Semoga melalui penganjuran liga ini kita dapat mencari barisan pelapis yang boleh menggalas cabaran negara pada masa depan, katanya.

Kejohanan ini, tambahnya, adalah selari dengan komitmen kerajaan untuk memajukan semua cabang sukan di negeri ini bagi merealisasikan impian menjadi "kuasa sukan".

Sementara itu, Norza berkata kejohanan itu menyasarkan penyertaan lebih 5,000 pelajar bawah 18 tahun dan lebih 1,000 sekolah di seluruh negara.

"Kejohanan telah bermula bulan lalu dan sehingga sekarang, sebanyak 90 peratus persatuan negeri telah menetapkan tarikh penganjuran.

"Peringkat akhir kejohanan ini dijadualkan pada 4 dan 5 Januari tahun hadapan," katanya.