Kian Meng-Pei Jing belum cukup ampuh nafikan Tontowi-Liliyana

Oleh Penulis Jemputan 15 Disember 2017 953
Kian Meng-Pei Jing belum cukup ampuh nafikan Tontowi-Liliyana
Beregu campuran utama negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, terpaksa menelan keperitan kempen Siri Super Final di Dubai telah pun berakhir setelah mereka mengalami kekalahan kedua, kali ini kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir. 

Berdepan Tontowi-Liliyana banyak menguji kehandalan Kian Meng-Pei Jing selaku beregu campuran utama negara. 

Tambahan pula, mereka tewas dalam aksi pertama, sekaligus menjadikan pertemuan ini sebagai misi hidup dan mati. 

Dalam pertemuan dengan wakil Indonesia itu, kedua-dua pasangan beregu bersaing sengit. Beregu negara tetap memberi cabaran dan berjaya mengumpul mata demi mata tetapi belum cukup untuk menyekat kemenangan Tontowi-Liliyana dalam set pertama, 21-17. 

Set kedua menyaksikan Kian Meng-Pei Jing lebih mendominasi dan bangkit memberi saingan lebih sengit dengan misi mengheret perlawanan ke set penentuan. 

Namun, beberapa siri kesilapan menyaksikan lawan mereka berkelebihan untuk Kian Meng-Pei Jing terpaksa tunduk 21-19 dan secara tidak langsung slot ke separuh akhir sudah tertutup rapat buat mereka. 

Begitupun, mereka masih mempunyai satu lagi perlawanan berdepan lawan dari England. 

"Walaupun kami kalah, aksi pada hari ini lebih baik daripada semalam," ujar Kian Meng. 

Pendapat itu  dipersetujui rakan gandingannya, Pei Jing, yang mengulas: "Saya harap kami dapat bermain lebih baik lagi esok (hari ini)."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen