Khe Wei mahu dalami bidang kejurulatihan

Oleh Staff Writer 23 Disember 2019 424
Khe Wei mahu dalami bidang kejurulatihan
Bekas Olimpian Sukan Olimpik Rio 2016, Woon Khe Wei, serius mahu menjadikan bidang kejurulatihan sebagai kerjaya masa depannya selepas mengumumkan persaraan tahun lalu.

Bekas pemain beregu wanita negara itu, yang sinonim bersama gandingannya, Vivian Hoo, terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada aksi kompetitif gara-gara siri kecederaan yang berlarutan.

Bagaimanapun, dia masih mahu menjadikan sukan badminton sebagai kerjayanya dengan mendedahkan minatnya untuk mendalami bidang kejurulatihan.

Khe Wei menjadi sebahagian daripada mentor program Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah yang dicetuskan oleh ketua jurulatih Akademi Sports Affairs, Rashid Sidek.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 dan Sukan Komanwel 2014 itu turut mengikuti kursus kejurulatihan di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan berharap dapat kembali menabur bakti kepada skuad kebangsaan satu hari nanti.

"Saya agak teruja kerana sebelum ini saya di atas gelanggang.

"Sebagai pemain, saya hanya fokus untuk berdepan lawan.

"Tetapi tugas sebagai jurulatih memang lebih berat.

"Saya perlu banyak berfikir untuk menguruskan pemain.

"Pemain pula bukan hanya seorang.

"Jadi, agak mencabar juga untuk saya belajar cara menguruskan pemain dan mengajar mereka untuk memenangi perlawanan," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen